Thursday, May 11, 2017

[REVIEW] : Album 'SimetriSiti' Dedikasi Dato Siti Nurhaliza Buat Peminat


Bila sebut sahaja nama Dato Siti Nurhaliza siapa tidak kenal penyanyi nombor satu negara ini. Fenomena Dato Siti Nurhaliza sebetulnya masih gah menguasai industri muzik tanah air. Belum ada lagi tanda-tanda yang memperlihatkan kedudukannya tergugat dalam waktu terdekat ini.

Semuanya adalah kerana Siti Nurhaliza menjadi seniwati yang sentiasa menjadikan kejujuran sebagai akar perjuangan seninya selama lebih dua dekad menjadi penghibur negara. Datanglah seratus artis baharu pun, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini tidak pernah gentar atau beralih tempat. Beliau kekal menjadi idola negara yang tiada galang gantinya hanya satu dalam sejuta.


Sukarnya menjadi Siti Nurhaliza, apabila setiap produk muzik yang dikeluarkan akan dinilai dan dikritik oleh ribuan orang. Bahkan istimewa juga menjadi Siti Nurhaliza, apabila setiap produk yang dikeluarkan akan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminatnya sendiri terutama Siti Zoners.

Kita juga dapat lihat apabila Siti konsisten dalam menghasilkan album studio penuh perlu diberi pujian. Biarpun ketika industri berhadapan dengan fasa kesuraman penerbitan album penuh, album Siti sentiasa mencatatkan jualan yang memberangsangkan.

Terbaru, SimetriSiti yang menjadi tajuk album penuh yang ke-18 beliau menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat setianya. Difahamkan SimetriSiti ini adalah album yang didedikasikan kepada peminat sebagai tanda terima kasih atas sokongan selama ini. Perkara itu dapat jelas kita lihat menerusi konsep album yang ditampilkan.


Pada 10 Mei 2017, album terbarunya menjengah pasaran dalam format cakera padat dan digital. Dikhabarkan juga sebanyak 300 unit cakera padat yang dijual secara online habis ditempah dalam masa 20 minit. Malah, tajuk #SimetriSiti menjadi trending sejak 10 Mei (semalam). Tahniah diucapkan.

Bagi yang masih berbelah bahagi untuk membeli album SimetriSiti yang berharga RM48.90 ini, ku bawakan sedikit ulasan ringkasan SimetriSiti sebagai panduan dan penentu keputusan anda.

#1 BERSANDAR CINTA
Komposer: Aubrey Suwito
Penulis Lirik: Ad Samad

Penyusunan yang baik apabila lagu ini dijemput menjadi pemula SimetriSiti. Susunan muzik yang bagus kaya dengan alunan muzik okestra. Apabila ku mendengar lagu ini, akan terimbau mirip lagu Lebih Indah atau Dialah Di Hati.

#2 PENGHIBURKU (feat. Joe Flizzow)
Komposer: Dato Siti Nurhaliza
Penulis Lirik: Dato Siti Nurhaliza
Penulis Lirik (RAP): Joe Flizzow

Sejujurnya apabila pertama ku mendengarkan lagu ini, ku berkerut dahi dan mengaru kepala terlihat kepelikkan dalam lagu ini. Tetapi selepas mendengarkannya beberapa kali dan teliti, barulah hatiku tertarik pada lagu ini. Dari aspek muziknya yang segar dan santai. Mungkin ini kesinambungan pada lagu Dua Dunia dan Situ Sana Sini. 

#3 IKRAR CINTA
Komposer: Amirah Ali
Penulis Lirik: Sulu Sarawak

Petikan gitar pada bridge dalam lagu ini diketengahkan. Kemuncak korus akhir juga turut diperhebatkan. Teringat pada lagu Mulanya Cinta dan Pejam Matamu. Bait-bait liriknya yang berbunga-bunga sesuai kepada orang sedang bercinta.

#4 SEGALA PERASAAN
Komposer: Ivan Lahardika
Penulis Lirik: Ivan Lahardika

Single pertama Siti yang menjadi taruhan dalam album kali ini amat tepat sekali. Kekuatan roh baladanya dapat dirasakan dalam lagu ini. Apabila ku mendengarkannya terkenang akan lagu seperti Kau Kekasihku dan Bisakah. Kawalan vokal yang kemas dan akhir kata ini lagu makanan Dato Siti Nurhaliza.

#5 AKU BUKAN MALAIKAT
Komposer: Opick
Penulis Lirik: Dian

Selepas lagu Ketika Cinta, Opick kembali bekerjasama dengan Siti. Ternyata bait-bait lirik kerohaniannya meruntun jiwa dan sanubari. Sejujurnya ku tidak gemar pada melodi dalam lagu ini kerana terdapat banyak kali pengulangan yang membuatkan ku sedikit rasa muak atau bosan. Contoh "Kau Bisa Syurga, Bisa Nerakaku, Kau Bisa Malam, Bisa Siangku"


#6 MANIS TERINDAH
Komposer: Aubrey Suwito
Penulis Lirik: Ad Samad

Permulaan lagu ini dengan petikan gitar ibarat hanya nyanyian akustik sahaja, tetapi jangkaan ku meleset apabila di korus gah dengan muzik daripada hasil air tangan Aubrey Suwito. Sekali dengar ibarat lagu Ku Menunggu. Manis Terindah mengingatkan ku kembali pada album Prasasti Seni.

#7 KISAH KU INGINKAN (feat. Judika)
Komposer: Ivan Lahardika
Penulis Lirik: Ivan Lahardika

Hanya sekali dengar sahaja sudah membuatkan ku tersenyum. Tidak hairanlah lagu ini mudah memancing peminat untuk ia dijulang sebagai antara lagu terbaik dalam SimetriSiti. Cuma melalui vokal terdengar kelihatan seperti tidak begitu masuk roh. Jika diberi kesempatan moleklah dirakamkan semula vokal bagi kedua-dua artis ini atau terus mendengar versi secara live. Namun ia sebuah lagu yang hebat terutama di bahagian korus. Lagu ini mengimbaukan ku ke era 90-an. Mohon melakukan video klip untuk lagu ini.

#8 TAK PERLU RAGU
Komposer: Ade Govinda
Penulis Lirik: Ade Govinda

Lagu yang bersederhana tetapi masih boleh didengar. Gemersik suara Siti jelas didengari dalam lagu ini.


#9 KAU TAKDIRKU
Komposer: Mohariz Yaakup
Penulis Lirik: Habsah Hassan

Lagu balada yang mendayu seperti era 80-an atau 90-an. Kau Takdirku juga antara salah satu lagu kegemaranku dalam album ini. Pendengar akan dihidangkan dengan alunan vokal Siti yang memukau dan ternyata vokal Siti dapat diuji dalam lagu ini.

#10 HIASI DUNIAKU
Komposer: Sid Murshid
Penulis Lirik: Sid Murshid

Pengakhiran trak dalam SimetriSiti dihidangkan dengan kerancakkan rentak dan keceriaan yang dapat membuat pendengar tersenyum. Sekilas dengar mengingatkan kembali pada lagu Warna Dunia.


Secara keseluruhan dalam album SimetriSiti, tidak bermaksud ianya sesuatu buah tangan yang tidak bagus, tetapi anda perlu mendengarkannya berulang kali untuk mula membuka halwa telinga dan hati anda. Kesimpulannya, 10 buah lagu dalam album ini mencipta identiti tersendiri. Menurut pandanganku SimetriSiti boleh diklasifikasikan sebagai album berskala sederhana.

Berikut adalah Top 5 Pilihanku dalam album SimetriSiti:

1) SEGALA PERASAAN
2) KISAH KU INGINKAN
3) BERSANDAR CINTA
4) KAU TAKDIRKU
5) PENGHIBURKU

Rating:
Vokal: 4.5/5
Keseluruhan Album: 3.5/5

No comments:

Copyright © Syazwan Rahman Designed by azhafizah.com